Monday, December 5, 2011

Pemenang Kuiz Fiqh Medik


Kuiz Fiqh Medik No.3/November.

TAHNIAH!

Mohamad Zulkhairi Che Mat
(Year 4)

Soalan: 


Anda seorang HO di Jabatan Pembedahan Am. Seorang pesakit telah menjalani pembedahan 'colostomy' beberapa hari yang lepas. Pesakit tersebut memakai colostomy bag (ostomy pouching system) untuk menggantikan saluran najis kerana keadaannya tidak membenarkan pembuangan najis berlaku secara normal. Pesakit tersebut bertanya: Bagaimanakah caranya saya bersolat dalam keadaan berhadas seperti ini? 

Jawapan:

Sebelum saya membincangkan hukum berkaitan stoma, ada baiknya saya memperkenalkan kolostomi dan stoma (mengikut apa yang saya mampu nyatakan).
 
Kolostomi ialah satu lubang yang dibuat melalui proses pembedahan pada dinding abdomen yang mana sebahagian kecil daripada usus besar itu dibawa ke permukaan kulit. Lubang buatan yang baru ini, dipanggil sebagai stoma. Ia adalah bertujuan untuk memudahkan najis keluar, tanpa melalui tempat usus yang sakit atau rosak. (kerana tidak boleh dikeluarkan daripada saluran biasa). Kadang-kadang, lubang buatan ini dibuat pada saluran kencing, yang dipanggil urostomi. Dan pesakit yang dibuat stoma akan memakai beg kolostomi.
 
Bagi pesakit-pesakit yang terpaksa memakai beg kolostomi, kebanyakkan daripada mereka merasa was-was untuk menunaikan solat kerana dua sebab, iaitu ;-
 
1. Adakah wudhuk mereka terbatal dengan sebab keluar najis tanpa boleh dikawal ke dalam beg kolostomi?
2. Adakah mereka dianggap menganggung najis? Dan adakah mereka perlu mengosongkan beg kolostomi setiap kali mengambil wudhuk atau menunaikan solat?
 
Dan di bawah ini ialah dua fatwa yang saya kumpul berkaitan hukum memakai beg kolostomi.
 
Hukum Wudhuk Dan Solat Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi
 
1- Keputusan Fatwa Muzakarah Jawatan Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam
 
Kategori : Perubatan
Tajuk : Hukum Pelaksanaan Ibadah Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi
i. Pesakit yang menggunakan beg kolostami dikategorikan sebagai mereka yang mengalami masalah dharurat dan tidak dianggap sebagai menanggung najis. Oleh itu, mereka tidak perlu mengosong atau membersihkan beg kolostami setiap kali berwudhu' atau menunaikan solat.
ii. Wudhu' yang diambil oleh pesakit harus digunakan untuk melaksanakan semua ibadah termasuk menunaikan solat fardhu sehingga wudhu' tersebut terbatal.
Oleh : Muzakarah Kali Ke-79, Tarikh Keputusan: 6 September 2007
Tarikh Muzakarah : 6 September 2007 hingga 8 September 2007
 
2- Keputusan Fatwa Negeri Kelantan Darul Naim
 
Setelah membincangkan isu ini dengan teliti, Mesyuarat Jamaah Ulama’ bersetuju memfatwakan seperti berikut :
 
1. Pesakit-pesakit yang terpaksa menggunakan beg kolostomi adalah termasuk di dalam golongan orang yang uzur syar’ie dan mereka tidak terikat dengan salah satu syarat yang membatalkan wudu’ untuk menunaikan solat iaitu keluar sesuatu daripada 2 jalan iaitu qubul dan dubur seperti yang disyaratkan kepada orang yang sihat.
 
2. Oleh itu, wudu’ mereka tidak terbatal walaupun najis keluar ke dalam beg kolostomi mereka. Keadaan mereka dihukumkan sebagaimana hukum seseorang yang mengalami silsu baul (air kencing sentiasa menitik) dan wanita yang mengalami istihadhoh. Dalam kedua-dua keadaan ini, telah disepakati oleh para fuqaha’ bahawa tidak terbatal wudu’ mereka walaupun najis telah keluar daripada 2 kemaluan mereka selepas mereka berwudu’ untuk menunaikan solat.
 
3. Penggunaan beg kolostomi juga boleh dianggap sebagai usus mekanikal iaitu pengganti kepada usus yang asal dan ia merupakan sebahagian daripada perut. Oleh itu selagi mana najis belum terkeluar daripada beg kolostomi ini, najis itu dikira masih berada di dalam badan pesakit dan wudu’ tidak akan terbatal dengan sebab keluar najis ke dalam beg tersebut.
 
4. Ketika hendak mengambil wudu’, pesakit-pesakit yang terpaksa menggunakan beg kolostomi ini tidak perlu mengosongkan beg kolostomi mereka setiap kali mengambil wudu’ kerana keuzuran mereka kecuali perkara itu tidak menyusahkan pesakit berkenaan. Mereka dikehendaki mengambil wudu’ apabila telah masuk waktu solat dan menyegerakan pelaksanaan solat sebaik sahaja berwudu’. Rujuk: e-fatwa.gov.my
 
Inilah dua fatwa yang telah difatwakan di Malaysia yang saya tau berhubung pemakaian beg kolostomi. Dan di sini, saya ingin berkongsi sebahagian dalil dan hujah-hujah mereka pada pandangan saya.
 
Hujah-hujah
 
1- Yang membatalkan wudhuk ialah keluar sesuatu (apa sahaja) daripada dua jalan, iaitu qubul dan dubur. Namun dalam masalah ini najis yang keluar bukanlah daripada dua jalan tersebut. Kerana itu wudhuk mereka tidaklah terbatal.
 
Berkata Imam Syafie: “…muntah, pendarahan hidung, darah yang keluar bukan daripada jalan hadas, maka tidak perlu berwudhuk…sebagaimana tidak batal wudhuk pada sendawa yang berubah dan juga pada air liur, kerana ia keluar bukan dari tempat keluar hadas (qubul dan dubur)”.
Berkata Imam Mawardi: “…apa sahaja yang keluar bukan daripada dua jalan tidaklah membatalkan wudhuk, samada yang keluar itu suci seperti air mata dan air liur, atau najis seperti muntah, darah berbekam dan pendarahan hidung…Dan ini adalah pendapat Ibn Umar, Ibn Abbas, (sahabah), Ibn al-Musayyab, al-Qasim bin Muhammad (tabien), Imam Malik, Rabiah dan Abu Thaur.”
 
 Dalam masalah adakah mereka menanggung najis, maka antara hujah yang membenarkan ialah:-
Aisyah r.a. menyatakan bahawa Fatimah binti Abi Hubaisy datang bertanya Nabi s.a.w.: “Wahai Rasulullah, saya seorang perempuan yang istihadhah (sentiasa keluar darah), kerana itu saya tidak suci, adakah saya boleh meninggalkan solat?” Jawab baginda: “Jangan…solatlah sekalipun darah itu menitis ke atas tikar”. Hadis riwayat Ahmad.
Jabir menyatakan bahawa dalam satu peperangan, seorang lelaki dipanah dan darahnya mengalir, namun dia masih meneruskan solatnya dengan rukuk dan bersujud. Hadis riwayat Bukhari “muallaq”.
Al-Hasan (Basri) menyatakan bahawa kaum muslimin sentiasa bersolat sekalipun dengan luka-luka mereka.
 
Dan sebagai peringatan, saya menyatakan janganlah sekali-kali kita meninggalkan solat walau dalam keadaan apa sekalipun. Bahkan para pesakit lebih patut untuk tidak meninggalkan solat. Firman Allah SWT:
 “Tetapi mengapakah ketika datang kepada mereka seksaan kami, mereka tidak merendah diri (berdoa dan bertaubat memohon keampunan), bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan (memperdayakan mereka dengan) menampakkan indah (baik) apa yang mereka lakukan”. Surah al-An’am: 43
 
Dan semoga kita semua terselamat daripada penyakit yang membahayakan. Berdoalah kepada Allah SWT dengan doa ini supaya kita terselamat daripada bahaya penyakit tersebut.
“Segala puji bagi Allah SWT yang memberikanku keafiatan, dan Dia tidak mengujiku (dengan bala ini), dan Dia mengurniakan kepadaku pelbagai kurniaan mengatasi ramai di kalangan makluk-makhlukNya”.

No comments:

Post a Comment