Friday, October 23, 2009

M&M PROJECT BEGINS

Projek ‘Mentor’ dan ‘Mentee’ atau ‘M&M Project’ ditubuhkan pada permulaan sesi musim luruh 2007 dalam komuniti pelajar Malaysia di Volgograd State Medical University, Rusia. Diasaskan oleh Saudari Siti Iliana Mohamad, yang merupakan pelajar tahun ke-4 pada ketika projek ini ditubuhkan. Sehingga kini, M&M Project yang diletakkan dibawah Biro Pembangunan Insan, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) Volgograd masih aktif menjalankan pelbagai aktiviti berteraskan ilmiah perubatan dan akademik. M&M Project memainkan peranan bukan sahaja untuk mewujudkan komuniti pelajar yang cenderung pada pembangunan ilmiah, tetapi juga untuk membina kesesuaian dan kesinambungan dalam pengajian perubatan antara pelajar perubatan di Rusia dan di Malaysia. Menyediakan dan melengkapkan minda para pelajar perubatan di sini tentang profesyen perubatan di Malaysia adalah perkara yang serius dan sentiasa ditekankan agar pengamal perubatan yang dilahirkan mampu memiliki kredibiliti yang terbaik selain kesedaran dalam membentuk persaingan yang sihat. M&M Project kini miliki keahlian daripada setiap tahun pengajian yang bertindak untuk merancang suatu perbincangan ilmiah bersama pelajar disamping berkongsi maklumat dan motivasi serta strategi. Para graduan kelahiran Volgograd State Medical University yang telah berkhidmat di Malaysia kini menjadi ‘super mentor’ kepada para pelajar yang masih menuntut di sini. Menerusi M&M Project, diharapkan komuniti pelajar perubatan di Volgograd mampu membina persediaan yang secukupnya demi menempuh kerjaya perubatan yang mencabar.

OBJEKTIF:

1. Mewujudkan komuniti pelajar perubatan yang cenderung pada pembangunan ilmiah atau akademik yang berteraskan penguasaan berbentuk teori dan praktikal.

2. Menyediakan kondisi yang menjurus kepada kerjaya perubatan di Malaysia di samping menitikberatkan aspek kompetitif, kredibiliti dan kongruen.

3. Menyediakan sumber-sumber ilmiah yang boleh dimanfaatkan oleh komuniti pelajar dan membantu dalam mewujudkan perkongsian pintar dalam interaksi maklumat bagi pengajian dan kerjaya perubatan.

4. Memberi pendedahan tentang kesinambungan pengajian dalam dunia perubatan dengan ilmu-ilmu berpandukan al-Quran, al-Hadith dan fatwa-fatwa berkaitan perubatan.

5. Memberi kesedaran dalam pembangunan diri para pelajar untuk tidak mengasingkan Islam daripada dunia ilmiah dengan pemahaman terhadap usul-usul fiqh perubatan dan Islam sebagai celupan yang terbaik.



'al-Hidayah, as-Syifa', ar-Rahmah'



No comments:

Post a Comment