Sunday, October 9, 2011

Islam & Perubatan



Perubatan adalah amalan semua umat manusia dalam dunia ini tanpa mengira bangsa, keturunan atau ugama kerana sesiapa boleh diserang penyakit. Usaha untuk mendapatkan ubat bagi sesuatu jenis penyakit telah dilakukan sejak zaman Nabi Allah Adam a.s. sehingga sekarang dan usaha ini masih berterusan. Jenis penyakit kian bertambah dan lebih rumit lagi dengan perubahan cara gaya hidup manusia dan perubahan dalam alam sekitaran. Rasullullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud
“Setiap penyakit ada ubat melainkan penyakit tua dan mati”.
Walaupun berbagai jenis ubat telah dicipta oleh manusia, namun masih banyak lagi penyakit yang belum diketahui punca dan ubatnya. Umat Islam juga tidak terkecuali dari diserang dan berbagai usaha dan cara dilakukan untuk merawat penyakit. Rasullullah s.a.w. menggalakkan umatnya berusaha untuk mendapat ubat bagi setiap penyakit yang dihidapi. Malah Baginda menekankan pentingnya pencegahan penyakit melalui langkah-langkah tertentu.
Rasullullah s.a.w. sendiri mempunyai kemahiran untuk merawat setengah jenis penyakit yang tertentu. Kaedah rawatan yang diamalkan oleh Baginda berasaskan akidah dan nilai-nilai Islam. Mungkin pada zaman itu belum banyak lagi jenis ubat-ubatan yang terdapat untuk merawat berbagai jenis penyakit berbanding dengan ribuan jenis ubat farmasi dan berbagai kaedah rawatan yang ada di pasaran masakini.

Zaman Kegemilangan Islam

Zaman kegemilangan pemerintahan Islam memuncak di antara tahun 900 hingga 1300 masihi. Pada zaman tersebut “empire” Islam dibawah pemerintahan khalifah telah berkembang dari Asia Barat ke benua Eropah dan bertapak kuat di negara Sepanyol, ia berkembang ke negara Russia dan ke Timur di sebahagian negara Cina. Dalam zaman kegemilangan pemerintahan tersebut muncullah para cendikiawan dalam bidang ilmu perubatan Islam seperti Al-Raziz (tahun 841 - 926), Al Zahrawi (tahun 931 - 1013), Ibnu Sina (tahun 890 - 1037), Ibnu Rusd (tahun 1126 - 1198) dan Ibnu El-Nafis (tahun 1208 - 1288). Disamping ilmu dan kemahiran kedoktoran, mereka ini juga mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang keagamaan, astronomi, fiziks, matematik dan lain-lain.
Mereka telah mengamalkan ilmu kedoktoran secara saintifik berasaskan ilmu pengetahun tentang perubatan pada ketika itu. Mereka juga telah menemui berbagai jenis ubatan daripada berbagai sumber. Berbagai kaedah rawatan termasuk pembedahan telah digunakan dan disebar luas khususnya oleh Al Zahrawi. Pengasas-pengasas perubatan Islam di zaman tersebut telah banyak menjalankan penyelidikan dan telah menulis berjilid-jilid buku teks kedoktoran yang telah diterjemahkan kepada berbagai bahasa Eropah. Malah banyak daripada buku-buku yang ditulis oleh Ibnu Sina, Al Zahrawi, Ibnu El Nafis telah digunakan oleh kolej-kolej perubatan di Eropah.
Selepas tahun masihi 1300 Masihi apabila “empire” Islam runtuh, maka ilmu perubatan Islam juga mengalami nasib yang sama. Sehingga sekarang ini, perubatan Islam tidak mendapat perhatian dunia seperti zaman pemerintahan khalifah dahulu.


Definisi Perubatan Islam
Tiada kata sepakat tentang definisi sebenar perubatan Islam. Ramai yang mentafsirkan istilah perubatan Islam mengikut selera atau cara-gaya mereka sendiri demi untuk mengiktiraf apa yang mereka amalkan adalah perubatan Islam sebenar. Justeru itu terdapat kekeliruan di kalangan orang ramai tentang apa sebenarnya perubatan Islam.
Perubatan Islam adalah satu bidang ilmu dan amalan yang berasaskan ilmu sains perubatan di mana terkandung di dalamnya paradigma, konsep, nilai-nilai tatacara ujian serta rawatan yang selaras dan tidak bertentangan dengan Quran dan sunnah Rasullullah s.a.w.. Ia bukannya satu kaedah rawatan yang biasanya diamalkan oleh pengamal-pengamal tradisional tetapi ia merupakan keseluruhan konsep ilmu dan amalan perubatan
Perubatan Islam perlu memenuhi kriteria-kriteria seperti berikut
    • -Ia adalah satu jurusan ilmu dan amalan yang boleh memberi perkhidmatan kesihatan yang cemerlang dan sesuai untuk semua gulongan ummah tanpa mengira bangsa, ugama atau darjat.

    -Ilmu dan amalan perubatan Islam mestilah berlandaskan aqidah Islam, dan mereka yang terlibat dalam memberi rawatan adalah orang yang mempunyai ilmu dan kepakaran dalam bidang perubatan di samping menjadi orang yang beriman dan bertaqwa. -Amalan perubatan Islam perlu patuh kepada undang-undang syariah Islam khususnya bagi tatacara ujian dan kaedah rawatan yang mungkin “controversial” dan boleh mengancam hak asasi manusia. -Amalan perubatan Islam perlu menyentuh keseluruhan manusia untuk merangkumi aspek-aspek rohaniah, mental dan fisikal. Proses pengubatan bukan sahaja melibatkan individu yang sakit sahaja, malah patut melibatkan ahli-ahli keluarga dan masyarakat. -Kaedah rawatan untuk pesakit sepatutnya meliputi semua cara termasuklah ubat-ubatan moden, pembedahan, kaedah rawatan tradisional dan patut dimulakan dengan doa. Semua kaedah rawatan patutlah diterima asalkan ia tidak menyebabakan seseorang itu menjadi syirik dan sepatutnya berbagai kaedah rawatan tersebut disepadukan dibawah satu bumbung. -Amalan perubatan mestilah berasaskan ilmu perubatan sains yang terkini dan mereka yang terlibat sepatutnya sentiasa menjalankan penyelidikan serta melakukan penulisan agar ilmu kedoktoran ini dapat disebarkan kepada semua. 

    Proses pengubatan

    Setiap pesakit yang datang untuk mendapat rawatan biasanya menderita dengan kesakitan, jiwa dan emosinya tertekan. Ia mengharapkan layanan dan rawatan yang terbaik serta menaruh keyakinan dan harapan yang tinggi kepada doktor serta kakitangan yang terlibat dalam rawatan. Ia seterusnya bertawakkal kepada Allah S.W.T. agar penyakitnya sembuh. Dengan harapan dan keyakinan seperti ini, doktor dan kakitangan yang terlibat dalam rawatan pesakit, bukan sahaja perlu mempunyai ilmu, kemahiran dan kepakaran dalam bidang rawatan perubatan, ia patut juga mempunyai satu etika dan peradaban yang sesuai untuk melayani pesakit.
    Ia perlu juga mempunyai keimanan dan ketaqwaan supaya ia dapat meyakinkan pesakit. Di saat-saat begini biasanya pesakit bukan sahaja mengharapkan penawar dari berbagai jenis ubatan atau tatacara rawatan, malah ia perlu sokongan emosi dan mental. Ia memerlukan segala-galanya untuk menceriakan diri dan suasana. Ia memerlukan nasihat dan bimbingan. Saat ini jugalah merupakan saat yang sangat berkesan untuk seseorang berdakwah.

    No comments:

    Post a Comment